Mulakan hari, empat keadaan kebaikan

SETIAP Muslim dan Muslimat memulakan hari baharu selepas menunaikan solat Subuh pastinya tidak terlepas daripada empat keadaan seperti disimpulkan Imam al-Ghazali dalam kitabnya Bidayah al-Hidayah.

Pertama, keadaan paling utama adalah mencari ilmu bermanfaat, iaitu pengetahuan dan pengenalan yang menambahkan takwa kepada Allah SWT, sekali gus mengisi makrifat dalam beribadat kepada-Nya.

Ilmu berguna juga dinilai kepada sesuatu yang mengurangkan kecenderungan kepada dunia, sebaliknya menambahkan perasaan ingin kepada akhirat.

Ia juga dapat mengenalkan seseorang Muslim kepada penyakit hati dan amalan yang dapat membantu mereka menjauhi serta mengelakkannya.

Abu Said al-Khudri meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya seseorang mukmin tidak pernah kenyang daripada kebaikan (yakni ilmu), dia (sentiasa belajar dengan) mendengar pengajaran ilmu hingga (maut datang menjemputnya) dan dia masuk ke dalam syurga. (HR Tirmizi)

Kedua, keadaan beribadat dengan meneruskan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti berzikir seperti bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir serta membaca al-Quran dan menunaikan solat sunat khususnya dhuha.

Allah SWT berfirman: “Wahai orang beriman, ingatlah dan sebutlah nama Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (Al-Ahzab: 42-43)

Ketiga, keadaan orang beriman berkhidmat kepada umat Islam seperti membantu masyarakat terutama golongan memerlukan seperti fakir miskin dan orang sakit.

Malah, khidmat itu juga termasuk melayani keperluan ulama dan ahli sufi seperti yang berlaku dalam tradisi Islam termasuk di alam Melayu.

Ibnu Abbas RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya, maka amalan itu lebih baik daripada iktikaf selama 10 tahun. Sesiapa yang beriktikaf selama sehari pun kerana mencari keredaan Allah, maka Allah akan menghalanginya daripada neraka sejauh tiga khandaq atau parit dengan lebar setiap parit lebih luas daripada jarak antara bumi dengan langit. (HR Tabarani)

Bagaimanapun, Imam al-Ghazali berkata, sekiranya ketiga-tiga perkara itu tidak dapat dilakukan, beliau menyarankan Muslim dan Muslimat berusaha menunaikan keperluan sendiri serta mencari nafkah sama ada untuk diri sendiri atau keluarga.

Saidina Ali RA meriwayatkan seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah pekerjaan paling baik?” Baginda bersabda: “Seorang lelaki bekerja dengan tangannya dan setiap jual beli yang baik kerana sesungguhnya Allah suka kepada mukmin bekerja dan sesiapa berusaha bersungguh-sungguh untuk menyara hidup keluarganya adalah sama seperti orang berjihad pada jalan Allah.” (HR Ahmad)

Tumpuan kepada keempat-empat perkara itu dapat mengelakkan kita daripada terjerumus kepada tindakan menimbulkan gangguan dan mudarat kepada masyarakat sama ada dengan lidah mahupun tangan.

Keempat-empat keadaan itu wajar diberikan perhatian kepada kita yang berada di ambang akhir zaman kerana kemajuan teknologi maklumat boleh menyebabkan kemungkaran dan kejahatan menyusup dalam kehidupan harian kita.

ni kerana di sebalik kesibukan menuntut ilmu, beribadat, membantu urusan umat Islam atau mencari rezeki, pintu melakukan kemudaratan tetap terbuka terutama dengan kemudahan teknologi maklumat itu.

Abu Barzah Aslami RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Wahai semua orang beriman dengan lidah sedangkan iman belum masuk ke dalam hati mereka, janganlah kamu mengumpat orang Islam, janganlah kamu mencari-cari keaiban mereka kerana sesiapa yang mencari-cari keaiban orang Islam, maka Allah SWT akan menjejaki keaibannya dan sesiapa yang Allah SWT jejaki keaibannya, maka dia akan dimalukan walaupun dalam rumahnya sendiri. (HR Abu Daud)

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMS