Lima Panduan Kekal Istiqamah Selepas Ramadan

SYAWAL diraikan penuh kesyukuran dan kemenangan menelusuri tarbiaah Ramadan. Suasana norma baharu memberi kesan kepada sambutan Aidilfitri tahun ini, tetapi amalan tradisi wajar diteruskan dengan mengambil langkah berjaga-jaga mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Madrasah Ramadan meninggalkan kesan mendalam kepada mukmin yang memanfaatkannya dengan ibadah dan amalan soleh, manakala hasil tarbiahnya diharap mampu membimbing kita mengharungi 11 bulan akan datang.

Ramadan yang berlalu ialah madrasah memupuk keimanan melalui tarbiah fizikal dan spiritual. Fizikal orang berpuasa lebih baik daripada orang yang perutnya sentiasa kenyang. Rasulullah SAW sering memilih berpuasa atau mengosongkan perutnya untuk tujuan beribadah kepada Allah SWT. Baginda menyatakan perut kosong akan memudahkan untuk mengawal hawa nafsu.

Segala kerosakan dan kebinasaan manusia didorong kebejatan hawa nafsu tidak terkawal. Allah SWT berfirman “Sesungguhnya nafsu manusia sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Yusuf: 53)

Sering berlaku apabila Ramadan berlalu, segala rutin ibadah yang sebati dalam diri bertukar kembali seolah-olah bulan itu tidak pernah kunjung tiba. Solat berjemaah menjadi asing pada diri, al-Quran mula ditinggalkan, silaturahim sesama jiran tidak lagi dihayati, fakir miskin dan anak yatim tidak dipeduli dan disantuni lagi.

Jika pada Ramadan kita melazimkan berzikir, berwirid dan mengingati Allah SWT dengan membaca al-Quran hingga khatam, mengapa kita tidak mampu membaca dan mentadabburnya walau 5 minit sehari?

Andai pada Ramadan, kita bertahajud di sepertiga malam, mengapa kita berat untuk bangun walau sekadar untuk menunaikan dua rakaat sunat? Begitu juga dengan sedekah, derma dan memberikan makan kepada fakir miskin atau konsisten solat berjemaah bersama ahli keluarga.

Segala amalan baik sepanjang Ramadan menuntut istiqamah dalam pelaksanaannya. Tanamkan azam untuk meneruskan segala amalan. Perasaan sedih meninggalkan Ramadan dan harapan untuk bertemu lagi Ramadan pada tahun hadapan ialah fitrah jiwa orang cintakan amal soleh.

Mu’alla Al-Fadhl, antara ulama tabi’ tabiin berkata: “Dahulu sahabat, selama enam bulan sebelum datang Ramadan, mereka berdoa agar Allah mempertemukan mereka dengan Ramadan. Kemudian, selama enam bulan sesudah Ramadan, mereka berdoa agar Allah menerima amal mereka pada Ramadan lalu.”

Sebagai umat Islam, kita perlu bermuhasabah kedudukan kita hari ini. Sewajarnya semangat dan kesungguhan kita dalam mentaati perintah Allah SWT sepanjang Ramadan lalu diteruskan di sepanjang hidup kita di dunia ini. Itulah matlamat Ramadan sebenarnya, iaitu membentuk insan bertakwa.

Ulama memberikan lima panduan untuk kita istiqamah dalam beramal soleh. Pertama, sentiasa memperbaharui niat dengan ikhlas dalam setiap amalan dilakukan.

Muhasabah diri mengapakah semangat kita beramal soleh dalam Ramadan lebih hebat berbanding keadaan kita pada bulan lain?

Adakah kita beramal hanya kerana disebabkan Ramadan? Sekiranya amal soleh kita lakukan ikhlas kerana Allah SWT, sepatutnya segala kebaikan dilaksanakan sepanjang masa dalam kehidupan kita.

Kedua, perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk melakukan amal soleh dan dijauhkan godaan iblis dan syaitan. Rasulullah SAW sering berdoa seperti diriwayatkan Shahar Haushab RA: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamamu.” (HR Tirmizi)

Ketiga, berusaha mencari sahabat yang suka melakukan kebaikan. Teman baik amat penting dalam proses perubahan diri kerana mereka akan sentiasa mengajak untuk melakukan kebaikan, bahkan menegur kesalahan kita lakukan.

Keempat, hayatilah sirah Nabi SAW dan kehidupan sahabat Baginda. Walaupun ada kalangan mereka dijamin syurga, anugerah itu tidak menjadikan mereka bermalas-malasan atau berehat di rumah bahkan tetap bersungguh-sungguh beramal serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Kelima, mulakan amal soleh secara berperingkat-peringkat, tetapi berterusan. Bermula dengan jumlah sedikit atau peringkat yang rendah secara perlahan-lahan dan berterusan (istimrar).

Sayidatina Aisyah RA mengatakan Rasulullah SAW bersabda: “Amalan paling dicintai Allah SWT ialah amalan berterusan walaupun sedikit.” (HR Muslim).

Kesimpulannya, beramal penuh ikhlas ialah kewajipan mukmin kerana ia syarat suatu amal diterima Allah SWT. Segala amal soleh sepanjang Ramadan perlu diteruskan dengan konsisten. Firman Allah SWT: “Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan kepada sesiapa dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia besar.” (Al-Hadid: 21)

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMS