Kepentingan Golongan Musleh

Ustazah nak berkongsi pasal kepentingan golongan musleh. InsyaAllah.

Perhatikan ayat al-Quran ini, Allah menjanjikan kepada kita bahawa Dia tidak akan membinasakan sesuatu kaum selagi mana wujudnya golongan yang sentiasa berusaha memperbaiki keadaan. Firman Allah:

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

“Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.” (Surah Hud: 117)

Menariknya dalam ayat ini, lafaz yang digunakana adalah perkataan “Muslihun” iaitu orang yang sentiasa memperbaiki keadaan. Tidak pula al-Quran menggunakan perkataan “Solehun” iaitu orang-orang yang soleh. Ini kerana, sekalipun wujud ramai orang-orang yang soleh, tetapi sekiranya mereka tidak berusaha memperbaiki kerosakan, keadaan masyarakat berupaya berubah menjadi lebih teruk.

Atas dasar itu Rasulullah menjelaskan bahawa sekalipun ramai orang-orang yang soleh dalam masyarakat, tetapi andai sekiranya mereka tidak berusaha memperbaiki sesama mereka, tidak melakukan aktiviti amar makruf dan nahi mungkar, maka dibimbangi ianya berpotensi melebarkan lagi rangkuman kerosakan tersebut.

Saidatina Zainab pernah bertanya kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ ؟ قَالَ: نَعَمْ، إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ

“Wahai Rasulullah, apakah kita boleh dibinasakan sedangkan terdapat dikalangan kita orang-orang yang soleh? Rasulullah lalu bersabda: “Ya, (kita akan dibinasakan sekalipun terdapat orang yang soleh disisi kita) sekiranya telah terlalu banyak kerosakan yang berlaku.” (Muttafaq Alaih)

Oleh yang demikian, elemen dan aktiviti kebaikan mestilah diteruskan. Namun dalam masa yang sama, proses memperbaiki kefahaman dan amalan masyarakat janganlah ditinggalkan. Ia adalah untuk kebaikan bersama.

Semoga Allah membimbing kita.

Alhamdulillah!

Marilah terus memperbanyakkan amal kebaikan!

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMS