Continue to practice new norms, comply with SOPs

Sekadar ciapan di Twitter dan lontar pandangan di Facebook sudah boleh mengubah dasar kerajaan? Jika dahulu mungkin mustahil, tetapi tidak pada zaman ini.

Oleh itu, kerajaan sekarang tidak lagi janggal dengan media sosial, sebaliknya mengasimilasikannya dalam kerja, strategi penyampaian dan pungutan maklumat.

Setiap cadangan netizen di media sosial, selagi ia disampaikan selari undang-undang dan cadangan yang masuk akal, sudah tentu menjadi perintis dan input yang baik kepada keputusan kerajaan. Tahniah netizen yang tulus prihatin!

Pelbagai pihak perlu memainkan fungsi masing-masing. Kerajaan juga sebagai contoh menerusi Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terbukti berjaya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di kawasan tertentu.

Alhamdulillah, setiap komuniti yang dikenakan perintah kawalan ini akhirnya berjaya menghentikan penularan wabak maut terbabit.

Kementerian Kesihatan (KKM) selaku tonggak utama turut berusaha menyambung ribuan kontrak doktor, menambah bilangan hospital COVID-19 dan terkini melantik 1,899 petugas kesihatan baharu di seluruh negara. Ini selaras keperluan mengejut tugas menyaring, menguji dan merawat dikendalikan KKM.

MKN dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) antara petugas barisan hadapan terpenting ketika proses melawan wabak maut ini. Mereka bergerak sejak hari pertama COVID-19 dikesan di negara kita dengan memastikan pengurusan pandemik dan bantuan sampai kepada rakyat tepat pada masanya.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga berusaha menyediakan hospital medan untuk COVID-19 dan kawalan pergerakan bersama polis sehingga membendung penularan wabak. Sekadar beberapa contoh terlintas di fikiran dengan tidak menafikan ratusan lagi usaha pelbagai agensi lain yang amat penting ketika ini.

Kita berjaya melepasi dua fasa (PKP dan PKPB) dengan hanya duduk di rumah dan mengamal norma baharu. Wabak maut berjaya dihentikan. Tahniah semua pihak!

Kini kita diuji lagi dalam fasa PKPP dengan lonjakan kes baharu di Malaysia mencecah tiga angka setiap hari. Suara dan pandangan netizen di media sosial khususnya, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di kawasan yang kesnya meningkat tinggi, terutama Selangor.

Tidak boleh tidak, PKPB terpaksa dilakukan pada saat ini. Dengan harapan dalam masa dua minggu ini kita sama-sama boleh mendatarkan lengkungan graf kes positif COVID-19 di negara kita.

Khusus bagi umat Islam pula, pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPD ini memang menepati nasihat Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Sesuai juga dengan ajaran Islam supaya kita mengamalkan norma baharu melalui penjagaan kesihatan sebagai membendung asbab jangkitan. Takdir itu memang takdir, tetapi membendung asbab jangkitan itu perlu bagi umat Islam agar kita dapat beralih daripada takdir yang tidak baik kepada yang lebih baik.

Kejayaan kita ketika PKP dan PKPB dahulu kerana amalan norma baharu dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dipatuhi semua pihak.

Contohi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang sentiasa terkehadapan dalam mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP sejak awal PKP lagi. Terkini, baginda bertitah mengajak semua peringkat dan baginda berdoa supaya Malaysia terus dilindungi dan dirahmati daripada ancaman wabak maut COVID-19.

Justeru, siapa kita untuk mengatakan tidak kepada amalan norma baharu dan mematuhi SOP jika ketua negara sendiri memberi contoh teladan?

Sarfarizmal Saad,
ISLAMI Putrajaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

en_USEN